Bengkak, berbiji

ADA lelaki berdepan masalah batang zakarnya ada sedikit bengkak di tepi dan kadangkala di bawah kepala zakar. Bila dipicit, terasa biji kecil atau urat di dalamnya.

Ia menyebabkan lelaki berkenaan tidak selesa selain terasa sakit tanpa mengetahui punca sebenar, sedangkan jika diperiksa, wujud gejala seperti dinyatakan.


Untuk makluman, anggota kelamin lelaki mempunyai pangkal yang lekat di bawah tundun, batang atau ‘shaft’ dan kepala zakar atau ‘glans penis’.

Kulit zakar lembut dan elastik membuatkannya mudah mengikut tumbesaran zakar apabila ereksi berlaku.

Kadangkala, tanpa ereksi zakar boleh mengembang akibat kebengkakan dan apabila ia reda, zakar akan mengecut.

Kebengkakan zakar boleh berlaku disebabkan keradangan bahagian itu akibat geselan yang keterlaluan (dalam hubungan kelamin atau beronani).

Punca lain termasuk alahan makanan, tergigit unggas atau kutu dan jangkitan seperti ‘balanitis’.

Apabila alahan reda dan jangkitan terkawal, kebengkakan akan surut. Jarang kebengkakan zakar berlaku akibat kecederaan kepada struktur dalaman dan adakalanya tisu pembalut otot zakar mengeras.

Keadaan ini dikenali sebagai penyakit ‘Peyronie’. Punca ia berlaku kurang jelas dan boleh terjadi sedemikian apabila zakar tercedera ketika dalam ereksi.

Kekerasan dalaman boleh mengurang dan dalam beberapa bulan mendatang, ia rasa kurang keras.

Adakalanya ia boleh mengeras secara ketara dan membuatkan zakar melengkung atau bengkok ketika dalam ereksi.

Jika mengganggu hubungan seksual, ia harus diselesaikan dengan berjumpa pakar. Masalah seperti itu tidak boleh dikendalikan melalui urutan kerana berisiko menjadi lebih ketara.

Segelintir lelaki menjalani suntikan zakar dilakukan individu yang tidak bertauliah kononnya untuk membesarkan zakar.

Mereka akan dapati zakar membengkak pada masa tertentu dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi selepas bersetubuh atau duduk lama dalam kenderaan. Walaupun pada waktu lain ia kelihatan biasa, tapi ada ketulan dan benjolan kecil (di lokasi kena suntik).

Jika lelaki menjalani suntikan itu, kebengkakan serta benjolan sentiasa berlaku dan jika ketara dia perlu mendapatkan rawatan sewajarnya.

Masalah seperti itu tidak boleh dikendalikan dengan urutan atau menuap menggunakan air panas kerana ia boleh menjadi ketara.

Dapatkan nasihat doktor pakar untuk pemeriksaan dan rawatan kerana ia mungkin mengakibatkan perkara lebih buruk jika gagal ditangani dari awal.

1 comment:

  1. Salam warahmah..sy mempunyai biji kelendir di cincin zakar..apakah jenis penyakit ini?? Adakah ia memudaratkan??

    ReplyDelete

Recent Post