Muda tapi kendur

SUAMI saya berumur 36 tahun dan sihat tubuh badan. Kami mendirikan rumah tangga 12 tahun lalu dan ada empat anak.

Kebelakangan ini, suami berdepan masalah. Dia ada rangsangan untuk melakukan hubungan kelamin dan zakarnya menegang (ereksi) tetapi apabila ingin memasukkan ke dalam faraj ia terus mengendur.


Bagaimanapun, apabila dirangsang semula, ia boleh memancutkan air mani tanpa memasukkan zakar ke dalam faraj. Kami benar-benar buntu dengan masalah ini memandangkan umur suami masih muda.



MENGHARAP
Subang, Selangor




Apabila lelaki terangsang, perjalanan darah dalam otot zakar lancar dan memenuhi ruang dalam otot. Ini membuatkan anggota itu tegap, padat serta keras.

Ketika itu pembuluh darah ven menjadi sempit supaya darah dalam zakar tidak keluar serta mengekalkan ereksi supaya mudah untuknya lakukan seks penetratif dengan pasangan.

Keadaan berubah apabila pembuluh darah ven tidak menyempit, malah terbuka dan membuatkan darah dalam otot zakar langsung keluar, menyebabkan ereksi kendur serta tidak bermaya.

Ada segelintir lelaki muda mengalami masalah itu yang juga ada kaitan dengan kegagalan mencapai ereksi tegap dan kekal untuk persetubuhan.

Masalah itu juga dikenali sebagai disfungsi erektil atau ED, iaitu walaupun pada awalnya ereksi tegap dan padat, tetapi gagal menyalurkannya ke dalam salur faraj kerana ketegangan tidak kekal.

Jika ia kerap berlaku dan lelaki itu kerap gagal melakukan seks penetratif, dia perlu berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, selain mendapatkan rawatan sewajarnya.

Segelintir lelaki yang mengalami masalah itu cuba mengatasinya dengan cepat-cepat menyalurkan ereksi ke dalam faraj sebelum layu. Jika pasangan belum bersedia lagi, sudah tentu perbuatan itu menyakitkannya. Penetrasi secara paksaan sebelum isteri bersedia memang menyakitkan!

Ada juga segelintir lelaki menambat pangkal zakar untuk mengekalkan ketegangan dengan menggunakan getah penambat. Ini dapat menyelesaikan masalah untuk seketika, tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah yang menjadi punca sebenar.

Apabila masalah ini kerap berlaku, ia boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih mendalam. Contohnya, peningkatan kolesterol dalam darah, masalah pra diabetis, penyakit darah tinggi atau koronari, selain petanda tekanan akibat gaya hidup tidak sihat.

Mengambil ubat kuat atau mendapatkan urutan tradisional di bahagian anggota sulit bukan cara terbaik kerana masalah kesihatan yang mendalam tidak dapat dikesan.

Untuk permulaan, individu itu boleh berjumpa doktor keluarga untuk menjelaskan masalah seksual dialaminya.

Jika dia tidak mengamalkan gaya hidup sihat, dia perlu memulakannya. Jadi, jumpa doktor secepat mungkin untuk mendapatkan bantuan.

No comments:

Post a Comment

Recent Post