Perlu periksa sendiri

SOALAN

SAYA pelajar berusia 22 tahun. Saya dapati ada benjolan lembut yang akan jelas kelihatan pada kantung skrotum saya ketika mencangkung. Keadaan itu menyebabkan seolah-olah ada tiga testis di dalam kantung skrotum saya.


Apabila dipegang, ia terasa seperti satu pundi yang berisi bahan lembut seperti lemak. Benjolan berkenaan tidak menyakitkan tetapi adakah keadaan itu normal?

PEMUDA RISAU

Sarawak

JAWAPAN


Nampaknya anda periksa buah zakar tanpa mengetahui atau mengenali anggota berkenaan. Ini memang dijangka tetapi tidak seharusnya dibiarkan sehingga jahil mengenai alat sulit sendiri.

Jika anda tahu mengenai anggota kelamin anda, tentu anda akan tahu lelaki mempunyai sepasang buah zakar dan tidak lebih daripada itu.

Ada lelaki yang tiada buah zakar dalam kantung atau hanya ada satu tetapi ini jarang berlaku. 

Selain daripada buah zakar yang ukuran dewasanya ialah antara 12-25 milimeter (ml), saiz kedua-dua buah zakar itu tidak semestinya seimbang.

Jika ia dalam lingkungan saiz antara 12-25 ml(ukuran dengan mengunakan alat pengukur buah zakar yang bergelar Orkidometer), ia dianggarkan normal.

Jika kurang daripada itu, kemungkinan ia terencat! Di sebelah buah zakar ada gumpalan salur yang bergelar pundi epididimis.

Ia terletak disebelah belakang buah zakar. Adakalanya ia keras dan adakala juga wujud ketulan yang membuatkannya terasa seakan-akan buah zakar.

Kemungkinan itu yang anda terasa. Di bahagian atas buah zakar ialah gumpalan salur darah yang adakalanya boleh mengembang dan memuntal.

Jika ia berlaku, keadaan itu dikenali sebagai ‘varikosel’ atau gumpalan pembuluh darah yang kembang dan berpuntal.

Jika dilihat daripada luar kerandut, kerandut akan kelihatan seolah-olah ada lebih daripada sepasang buah zakar, seperti yang anda lihat. 

Jadi kemungkinan ‘buah zakar' yang lebih itu ialah ketulan cista pundi epididimis atau gumpalan pembuluh darah yang berpuntal atau varikosel.

Anda hanya boleh dapat kepastian jika anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.

Kadangkala, doktor akan syorkan ujian lanjutan seperti menjalani pemeriksaan imbasan atau ‘ultrasound’ untuk penetapan diagnosa jika keraguan. Sudah tiba masanya untuk anda dan pembaca lelaki mengetahui cara melakukan pemeriksaan kendiri buah zakar dan zakar.

Ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali sebulan. Ketika hendak melakukan pemeriksaan kendiri buah zakar, satu tangan perlu menampu kerandut dan satu lagi melakukan pemeriksaan.

Contohnya, untuk memeriksa buah zakar kiri, gunakan tangan kiri dan tampung kerandut menggunakan tangan kanan dan lakukan sebaliknya jika mahu memeriksa buah zakar kanan.

Rasa buah zakar dari depan ke belakang dan rasa sekali pundi epididimis. Selepas itu, sambung pemeriksaan di atas untuk rasa salur darah. Jika terasa gumpalan, kemungkinan ada varikosel. Jika hendakkan kepastian, anda dinasihatkan bertemu doktor.

Selepas itu, periksa keseluruhan kerandut. Jarang ada ‘jerawat’ kerandut. Ia mudah berlaku jika bulu roma kerandut dicukur. Kemudian, periksa keseluruhan zakar dan bahagian penghujung zakar. Teliti di bawah kepala zakar sama ada kulit rata atau ada timbulan kulit.

Jika ada, anda boleh rujuk kepada doktor untuk kepastian sama ada ia ketuat atau ‘wart’. Jika ada dari dulu lagi dan tidak berubah, kemungkinan bekas pembedahan berkhatan.

Jika anda peka dengan keadaan anggota kelamin anda, anda akan yakin mengenai kesihatannya. Jadi, amalkan pemeriksaan kendiri buah zakar dan anggota kelamin sebulan sekali.

No comments:

Post a Comment

Recent Post