Penghidap Hepatitis B perlu suntikan imunisasi

SOALAN

SAYA disahkan menghidap Hepatitis B. Sejak itu saya mengelak melakukan hubungan kelamin dengan isteri. Kami bingung memikirkannya.


Kami belum ada zuriat. Adakah jika kami melakukan hubungan kelamin, virus akan terkena pada isteri dan janin jika isteri saya mengandung?

HAFIZ
Putrajaya


JAWAPAN


Jika anda ada kuman virus itu dalam darah, kemungkinan anda menjadi pembawa kuman virus itu ada. Jika anda pernah dijangkiti kuman virus itu dan ada daya perlindungan badan kukuh yang dapat menghapuskan kuman virus itu, anda dikira ‘kebal’ atau terlindung daripada menghidap penyakit itu dan tiada kuman virus dalam darah anda, maka anda bukan pembawa kuman virus itu.

Jadi anda kena pastikan kedudukan anda berhubung jangkitan itu, sama ada anda pembawa kuman virus atau sebaliknya. Jika ya, isteri anda berisiko menghidap penyakit itu kerana ia mudah berjangkit melalui hubungan seksual.

Saya syorkan anda membawa isteri berjumpa doktor untuk menjalani ujian darah.

Jika belum terkena jangkitan virus itu, elok dia diberi suntikan pencegahan untuk mengelak terkena jangkitan melalui anda. Apabila daya dan kekuatan perlindungan badannya kukuh, tiada kemungkinan dia mendapat jangkitan itu daripada anda.

Sementara waktu ketika dia mendapat suntikan imunisasi itu, anda disyor menggunakan kondom ketika hendak bersamanya. Dia perlu mendapatkan tiga suntikan imunisasi seperti berikut:

Mula dengan suntikan pertama dan sebulan kemudian dapatkan suntikan kedua dan enam bulan kemudian dari suntikan pertama, suntikan ketiga. Ini sudah mencukupi untuk dapat perlindungan.

Mungkin selepas enam tahun dia boleh dapatkan dos ‘booster’ untuk menggalakkan peningkatan ‘antibodi’ atau daya kekuatan dan perlindungan daripada kuman virus Hepatitis B.

Apabila sudah dapat perlindungan, tiada masalah untuk dia hamil dan melahirkan anak sihat. Jika dia terdedah dengan jangkitan itu tanpa perlindungan imunisasi, sudah tentu dia membawa kuman itu dari anda dan anak dalam kandungan berisiko menghidap jangkitan itu.

Jadi imunisasi Hepatitis B mustahak untuk diberi padanya jika dia belum terdedah kepada jangkitan itu.

No comments:

Post a Comment

Recent Post