Terkejut tiada sperma

SOALAN

SAYA berusia 27 tahun, berkahwin empat tahun dan ada dua anak. Masalah saya ialah, baru-baru ini saya membuat dua ujian dalam makmal berkaitan kandungan sperma dalam air mani.


Doktor yang membuat ujian itu memaklumkan tiada langsung kandungan sperma dalam mani saya. Dia turut memaklumkan kesihatan saya normal.

Ia mengejutkan saya dan juga doktor yang melakukan pemeriksaan itu. Apa perlu saya buat? Apakah rawatan yang perlu saya lakukan?

FIZ
Kuantan, Pahang


JAWAPAN


Masalah kesuburan atau tiada sperma dalam air mani dikenali sebagai ‘Azoospermia Sekunder’ atau ‘Secondary Azoozpermia’.

Jarang berlaku situasi lelaki yang pernah menghasilkan sperma dalam air mani atau pernah menghamilkan pasangan wanita satu ketika dulu kemudian mengalami masalah itu.

Sebahagian besar daripada pelanggan saya yang mengalami masalah seperti itu pernah mendapat penyakit beguk atau ‘mumps’ selepas berkahwin dan mendapat anak.

Ia berlaku sama ada beguk terbabit mengakibatkan keradangan buah zakar atau sebaliknya dan kemudian mendapati kedua-dua buah zakar berkenaan mengecut.

Dalam masa sama, kebetulan pula isteri mereka sukar mengandung dan apabila mereka menjalani ujian air mani, didapati tiada sperma dalam air mani.

Selain itu, sebahagian lagi pelanggan saya mengalami keradangan buah zakar secara rambang atau ‘non-specific orchitis’ dan mereka mendapati tiada sperma dalam air mani apabila menjalani ujian air mani sebagai ujian susulan infertiliti sekunder.

Ada juga pelanggan saya yang mendapati tiada sperma dalam air mani mereka tanpa sebab munasabah. Mereka sihat, tiada masalah dengan anggota kelamin dan kedua-dua buah zakar sihat, tiada keradangan, selain bentuk serta saiz testis normal dan ia membuatkan mereka serta doktor bengang.

Apabila lelaki itu didapati ada masalah Azoospermia Sekunder, pemeriksaan lebih teliti perlu dilakukan dan lebih baik untuk lelaki itu jika ia dikendalikan pakar yang berkaitan.

Pemeriksaan fizikal akan dilakukan dan jika perlu, ujian imbasan atau ‘ultrasound’ dibuat terhadap buah zakar untuk menentukan sama ada ada masalah ‘varikosel’ atau pembuluh darah berpuntal yang terlindung atau gagal dikesan dengan pemeriksaan biasa.

Ujian hormon juga dilakukan untuk menyukat hormon kesuburan (FSH), Prolactin dan Testosterone. Ujian baka turut dilakukan untuk mengesan jika ada masalah baka yang boleh bermanifestasi dalam umur tertentu dan menyebabkan kilang sperma terbantut.

Adakalanya, cebisan tisu diambil daripada buah zakar untuk mengesan kedudukan kilang sperma, sama ada ia aktif atau sebaliknya, dan juga mengesan proses kemusnahan sel atau ‘apoptosis’.

Rawatan hanya diberi jika masalah sebenar dapat dikesan. Adakalanya rawatan percubaan diberi untuk beberapa bulan (antara tiga hinga sembilan bulan) bagi meninjau jika ia memberi apa-apa kesan kepada kilang sperma.

Jika masalah tiada sperma ada kaitan dengan salur sperma tersumbat, sperma boleh dikeluarkan dari bahagian yang tidak tersumbat.

1 comment:

Recent Post