Kahwin empat tahun masih tiada zuriat

SOALAN

SAYA berkahwin lebih empat tahun tetapi belum mendapat zuriat. Saya melakukan pelbagai cara, namun semuanya tidak menunjukkan perubahan.


Pada tahun pertama perkahwinan, saya mendapatkan rawatan daripada pakar ‘obstetrician and gynaecologist’ di sebuah hospital swasta di Melaka.

Beberapa ujian dijalankan dan hasilnya, telur daripada isteri saya ada tetapi tidak banyak dan diberi ubat kesuburan untuk mengeluarkan telur.

Pemeriksaan air mani saya adalah normal. Oleh kerana kosnya tinggi bagi setiap rawatan, saya meninggalkan rawatan ini selepas beberapa kali (tiga kali setiap bulan) rawatan yang dilalui tidak menunjukkan hasil.

Kemudian saya mencuba di klinik sakit puan pula dan doktor memberi ubat subur serta vitamin. Ia berterusan kira-kira tujuh bulan, tetapi tetap tiada hasil.

Kemudian saya mendapatkan rawatan kampung dengan mengurut tetapi tetap sama. Saya kemudian ke Hospital Melaka. Hasilnya juga sama.

Doktor memberi cadangan untuk melakukan suntikan sperma kedalam telur (IUI) tetapi peratus untuk hamil sekitar 20-30 peratus saja. Saya tidak melakukan kaedah ini.

Akhir sekali doktor meminta kami berdoa dan bersabar kerana berdasarkan pemeriksaan, kami berdua normal dan mungkin belum ada rezeki lagi. Minta doktor beri pendapat dalam hal ini.

RAZAIDI MAHAT
Melaka


JAWAPAN


Alhamdulillah, anda dan isteri sudah menjalani pemeriksaan kesuburan yang komprehensif. Nampaknya anda dan pasangan tiada masalah nyata. Masalah kesuburan anda berdua dikenali sebagai ‘Idiopathic Infertility’.

Secara ringkas, ia bermaksud masalah kesuburan yang tidak dapat dikenal-pasti. Jadi tidak hairan apabila doktor menjelaskan, yang dapat membantu anda berdua hanya Allah SWT.

Namun, mendiamkan diri dan mengangkat tangan untuk berdoa saja bukan caranya. Anda perlu teruskan kerap bersama dengan pasangan pada waktu suburnya dan pastikan tiada air mani melimpah keluar.

Selesai melakukan hubungan seks, isteri diminta supaya jangan rapatkan paha, meluruskan kaki atau mengemut. Jika air mani keluar dengan banyak, mungkin bersetubuh dari belakang dengan posisi isteri menyujud dapat membantu mengurangkan limpahan air mani.

Selain itu, mungkin anda berdua perlu pergi bercuti untuk berseronok. Mana tahu dengan cara ini dan tanpa tekanan, isteri boleh hamil.

Sementara waktu anda mencuba sendiri dan berdoa, anda boleh mengumpul wang dan jika ia mencukupi, cuba kaedah lebih canggih iaitu bayi tabung uji.

Kini ada banyak pusat rawatan kesuburan yang berwibawa dan memberi khidmat berkenaan. Anda boleh mencarinya di laman web Internet untuk mendapatkan maklumat serta kos diperlukan.

Anda boleh buat temujanji untuk bimbingan dan jika anda berdua bersedia, teruskan. Ini lebih baik daripada membazirkan wang menjalani rawatan bukan-bukan.

Apabila pemeriksaan asas dan spesifik menunjukkan anda berdua normal, teruskan dengan kaedah canggih. Lakukan ketika umur masih muda kerana umur mempengaruhi tahap kesuburan kedua-dua pasangan. Itu cadangan saya.

No comments:

Post a Comment

Recent Post