Dubur terasa bengkak

SOALAN

BARU-BARU ini saya mendapati lubang dubur agak sakit ketika membuang air besar. Ia juga seakan-akan membengkak. Saya takut untuk berjumpa doktor kerana tidak dapat menerima kenyataan jika penyakit itu serius.


Untuk pengetahuan doktor, saya pernah mengamalkan hubungan sejenis tetapi kini tidak lagi.

RISAU
Kuala Lumpur


JAWAPAN


Lubang dubur ialah penghujung sistem penghadaman. Ia mengandungi pepundi peluh, pundi minyak pelembap selain bulu roma dan urat saraf yang sensitif kepada sentuhan serta stimulasi erotik.

Pembukaan lubang dubur berbentuk bujur dan posisinya berdekatan tulang tungking. Apabila tertutup, ia berukuran dua sentimeter (sm), tetapi otot pembukaan luar dubur boleh meluas sehingga lima kali ganda.

Dalam pembukaan lubang dubur ialah salur dubur dan ia berukuran kira-kira 4.5 sm dan mengelilingi otot pembukaan dalaman yang mengawal pengeluaran najis ketika proses pembuangan air besar.

Di bahagian atas salur dubur kelihatan lapisan tisu berbentuk seperti gigi gergaji bergelar ‘dentate line’ dan di atas garisan itu ialah usus rektum, tempat akhir najis berkumpul sebelum proses pembuangan air besar.

Usus rektum lebih kurang 15 sm panjang dan mengandungi tisu penahan atau ‘valve’ yang berfungsi sebagai pengawal ketika najis bergerak.

Apabila najis sudah menekan salur rektum dan secara langsung ia menolak ‘valve’ tadi, perasaan hendak buang air besar akan berlaku, menyebabkan individu berkenaan membuang air besar.

Jadi, jika anda rasa sakit ketika buang air besar dan bahagian saluran dubur anda terasa seolah-olah bengkak, ia kemungkinan disebabkan bahagian salur dubur anda terluka atau tercedera akibat membuang air besar yang keras.

Jika kebetulan lubang dan salur dubur anda tidak selembut dulu atau pernah tercedera dan kini mengandungi parutan (akibat hubungan liwat?), salur terbabit tidak dapat melega dengan mencukupi untuk melepaskan najis yang besar dan keras hingga berlaku kecederaan.

Saya syorkan anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan salur dubur dan rektum jika ada luka atau perubahan kepada salur dubur, seperti kemunculan mukosa yang membuatkan salur dubur berkenaan sempit.

Kesempitan itu yang diakibatkan kebengkakan mukosa salur dubur juga dikenali sebagai buasir atau hemorrhoids. Anda tidak perlu berasa takut untuk berjumpa doktor kerana doktor dapat membantu anda menyelesaikan kesakitan itu.

Jika didapati ada luka, rawatan untuk memulihkannya akan diberi. Jika kebetulan anda didapati menghidap buasir, doktor akan jelaskan sama ada buasir anda belum terkeluar dan ia satu keadaan yang dikenali sebagai ‘prolapse piles’.

Jika ada kebengkakan, doktor akan memberi ubat sesuai bagi melegakannya, selain ubat untuk melembutkan najis supaya mudah bagi membuang air besar.

Jangan biarkan ia melarat, kulit mukosa boleh melecet selain pendarahan. Jangan lengah berjumpa doktor. Ketepikan perasaan malu itu dan selamatkan lubang serta salur najis anda.

1 comment:

Recent Post